Contoh Karangan : Biografi Seorang Doktor

Biografi

Contoh Karangan Bahasa Malaysia 4, 5, 6 UPSR



Biografi Seorang Doktor

Tim ialah seorang doktor.  Beliau bertugas di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.  Tim ialah seorang doktor yang berdedikasi dan suka menolong orang.  Dia disukai oleh ramai kerana kerajinan dan kemesraannya.

Tim berasal dari Negeri Melaka.  Beliau dilahirkan pada 7 August 1972 di Kampung Mewah Merlimau.  Tim merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik.  Encik Wong Kim Haw, bapa kepada Tim merupakan seorang penarik beca.  Ibunya pula telah meninggal dunia semasa beliau berusia sepuluh tahun.

Sebagai anak sulung, Tim terpaksa memikul tanggungjawab yang berat.  Beliau telah diasuh agar berdikari sejak kanak-kanak lagi.  Selain belajar, Tim terpaksa menyediakan makanan, minuman dan keperluan persekolahan adik-adiknya sewaktu ayahnya pergi bekerja.  Pada waktu petang, Tim mengambil upah menyediakan pembungkus nasi lemak kepada Mak Cik Lim.  Duit upah yang diperolehinya digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahannya.  Semasa cuti sekolah,  Tim mencari kerja menoreh getah di Kebun Pak Abu bersama-sama dengan adik-adiknya.  Sewaktu masa lapang, Tim menghabiskan masanya bermain dengan adik-beradik dan ayahnya, menonton TV dan berjalan-jalan di sawah padi.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu Balik.  Sejak di bangku sekolah lagi, beliau telah membuktikan kepintaran dan tekadnya untuk belajar.  Beliau sanggup berjalan kaki sejauh empat kilometre untuk ke sekolah.  Berkat usaha dan kerajinan Tim akhirnya membuahkan hasil.  Beliau telah ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran di salah sebuah universiti tempatan.

Selepas enam tahun belajar, Tim akhirnya berjaya mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.  Beliau berhasrat membantu orang-orang miskin yang memerlukan rawatan.  Selepas tamat pengajiannya,  beliau lalu balik ke kampungnya, membuka sebuah klinik dan memberi rawatan perubatan kepada orang-orang kampung yang miskin secara percuma.  Kini, adiknya juga mengikut jejak Tim belajar dalam bidang perubatan dan berazam untuk menolong Tim setelah habis pengajiannya.


Aku Sepasang Kasut

Contoh Karangan Bahasa Malaysia SK dan SJK ©/(T)4,5,6 UPSR
Karangan jenis Autobiografi
Tulis sebuah karangan yang bertajuk “ Aku Sepasang Kasut”.
Jawapan


Aku Sepasang Kasut


Aku dilahirkan di Malaysia.  Aku diberi nama “ North Star “.  Tubuhkku diperbuat daripada getah dan kain.  Reka bentuk badanku agak luar biasa, khas untuk menarik perhatian para remaja.

Aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak dan dibalut dengan sehelai kertas putih.  Kemudian, aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang lebih besar bersama-sama kawan-kawanku yang lain.  Aku seterusnya dibawa menaiki lori.

Lori itu telah menghantar kami ke sebuah pasar raya yang besar.  Pemandu lori itu lalu memindahkan aku dan kawan-kawanku yang lain ke bilik stor.

Selepas beberapa hari, aku dikeluarkan dan dipamerkan di atas sebuah rak kasut.  Sejurus kemudian, seorang remaja menghampiriku dan terus membelek-belek aku.  Setelah mencubai aku, dia pun membeli aku dengan harga RM 65.98.

Kumari merupakan nama tuan baru aku.  Dia akan memakaiku pada setiap petang sama ada untuk mengayuh basikal, bermain badminton, berjoging ataupun berjalan-jalan pada waktu petang.  Kawan-kawannya sering memuji akan kecantikan aku.

Aku bersyukur kerana mendapat tuan yang cermat dan pembersih.  Setiap kali selepas memakaiku, Kumari akan mencuci kakiku yang dilekati pasir.  Kemudian, dia akan menyusun aku di atas rak kasut bersama-sama dengan rakan-rakanku yang lain.  Sekiranya badanku kotor akibat terkena lumpur, dia akan mencuciku dengan berhati-hati agar badanku tidak sakit.  Selepas itu,  Kumari akan menjemur aku di bawah cahaya matahari agar badanku cepat kering.

Hari berganti hari dan bulan berganti bulan, getah pada tapak kakiku pun menjadi haus.  Pada suatu hari, tuanku tergelincir sewaktu berjalan dalam hujan lebat.  Sejak kejadian itu, tuanku tidak memakai aku lagi.  Akhirnya, dia telah membuang aku ke dalam tong sampah.  Tamatlah riwayat hidupku.


Aku Sebuah Taman Permainan

Contoh Karangan Bahasa Malaysia SK dan SJK ©/(T)4,5,6 UPSR
Karangan jenis Autobiografi
3 Tulis sebuah karangan yang bertajuk “ Aku Sebuah Taman Permainan”.


Aku Sebuah Taman Permainan


Nama aku ialah Taman Permainan Aman.   Aku terletak di tengah-tengah bandar.  Aku sering menjadi tempat tumpuan  ibu bapa dan kanak-kanak.  Mereka sering mengunjungiku pada waktu petang, lebih-lebih lagi pada hujung minggu.
Aku dihiasi pokok-pokok bunga yang rendang dan cantik.  Kadang-kadang, rama-rama, kumbang dan pepatung suka bermain-main di sini.  Mereka juga datang mencari makanan di sini. Aku mempunyai banyak anak buah yang berwarna ceria dan setia berkhidmat dan menghiburkan kanak-kanak yang datang berkunjung.  Mereka adalah seperti jongkang-jongket , buaian dan gelongsor.
Pada suatu hari, seorang kanak-kanak telah datang bermain gelongsor.  Tiba-tiba, kedengaran suara seorang budak berteriak.
“Lin, marilah bermain di sini! Lagi seronok.”
Budak yang bernama Lin itu pun bergegas menuju ke arah budak yang menjerit itu.  Mereka terus berbisik-bisik.  Tiba-tiba, mereka mengeluarkan sekotak mancis.  Mereka menuangkan cecair yang berbau busuk ke atas jongkang-jongket dan terus menyalakan mancis itu.
Dakam sekelip mata, badan anak buah aku itu pun terbakar.  Hal ini kerana cuaca pada hari itu sangat panas.  Aku turut terasa bahangnya.  Aku menjerit meminta tolong, namun tiada suara yang keluar daripada tekakku.
Pilu hatiku melihat jongkang-jongket meronta-ronta kesakitan.  Aku melihat api sudah merebak ke badan anak-anak buahku yang lain.  Nasib kami agak baik kerana ada seorang lelaki yang lalu di situ pada waktu itu.  Lelaki itu lalu menelefon pihak bomba.  Sementara menunggu kedatangan bomba, lelaki itu bertungkus-lumus memadamkan api.
Selepas beberapa minit, bomba pun tiba.  Mereka memancutkan air ke arah aku dan anak-anak buahku yang sedang dijilat api.  Dalam masa lima belas minit, api pun berjaya dipadamkan.  Aku berasa amat terhutang budi kepada lelaki itu dan juga pihak bomba.  Namun begitu, sebahagian daripadaku dan anak-anak buah akau telah hangus dan ditinggalkan parut yang hitam legam.
Budak-budak yang bermain api sehingga merosakkan aku dan anak-anak buahku itu telah dimarahi serta diberi nasihat oleh pihak bomba.  Aku berasa begitu sedih mengenangkan nasib malang yang menimpaku.  Aku berharap pihak majlis perbandaran akan datang membaiki aku dengan secepat mungkin agar aku dapat berkhidmat semula.


Karangan jenis Autobiografi : Aku Sebuah Komputer

Contoh Karangan Bahasa Malaysia SK dan SJKC / Tahun 4,5,6 UPSR
Karangan jenis Autobiografi
1 Tulis sebuah karangan yang bertajuk “ Aku Sebuah Komputer”.
Jawapan:


Aku Sebuah Komputer


Aku berasal daripada sebuah keluarga yang termasyhur di dunia, iaitu Lenove.  Tubuh aku diperbuat daripada gabungan aluminium, plastik, dan besi.  Kebanyakan anggota badanku diperbuat di Taiwan tetapi aku dipasang di Malaysia.  Aku diberi nama “ Lenove MDE568”.
Setelah diriku dilengkapi peranti, disket, monitor, papan kekunci, dan tetikus, aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak.  Kemudian, aku dihantar ke sebuah kedai komputer di Taiping dengan sebuah lori.  Selepas dua hari dipamerkan, aku telah dibeli oleh seorang lelaki sebagai hadiah hari jadi untuk anaknya yang bernama Roslan.
Setibanya di rumah tuan aku, aku telah disambut mesra oleh RosIan.  Dengan mudah sahaja, RosIan sudah memahami perangai dan kehendak aku.  Dia memberikan layanan dan belaian yang istimewa kepadaku.  Dia telah menjadikan aku sebagai teman istimewa kepadanya.  Akulah penghibur dan pembantu setia dalam pelaksaan tugas-tugas sekolahnya.  RosIan amat berpuas hati dengan khidmat aku.  Layanan istimewa yang aku terima sering membuatkan kawan-kawanku yang lain seperti televisyen, radio, dan kipas berasa iri hati.
Namun begitu, kebahagiaan yang aku kecapi tidak kekal lama.  Pada suatu hari, RosIan memaksa aku menerima satu program yang amat berat.  Aku terpaksa menolak permintaan tuanku kerana tubuhku ini tidak terdaya menggerakkan program tersebut.  Tindakan aku itu telah membuatkan RosIan marah dan tidak mempedulikan aku lagi.
Walau bagaimanapun, pada suatu hari, bapa RosIan telah membawa aku ke kedai untuk dinaikkan taraf.  Aku berasa lebih kuat dan bersemangat, lantas aku diberi nama baharu, iaitu “intel Pentium”.
RosIan berasa puas hati dengan pembaharuan diriku dan dia kembali menjadikan aku sebagai teman setianya.  Aku berasa amat gembira dan bangga kerana RosIan memberi aku peluang baru untuk mengkhidmatinya.


Karangan jenis Autobiografi : Aku sebuah Kereta

Contoh Karangan Bahasa Malaysia SK dan SJKC / Tahun 4,5,6 UPSR

Karangan jenis Autobiografi

2   Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Aku sebuah Kereta”.

Jawapan


Aku sebuah Kereta


Aku merupakan sebuah kereta yang diberi nama Aixia.  Aku telah dihasilkan di salah sebuah syarikat kereta, iaitu Syarikat Perodua.  Badanku berwarna merah.
Aku akan dihantar ke salah sebuah kedai bersama-sama dengan sepuluh buah rakanku yang lain untuk dijual.  Antara kami, akulah yang tercantik dan termahal kerana badanku dihiasi dengan pelbagai aksesori yang canggih dan terkini.
Setelah sebulan berada di kedai itu, maka datanglah seorang lelaki bersama isterinya untuk membeli kereta.  Setelah mereka melihat-lihat kereta yang ada di situ, akhirnya mereka telah memilihku.  Mereka berpuas hati dan ingin membeliku walaupun hargaku mahal.
Aku dapat tahu bahawa bakal tuan aku itu merupakan seorang peguam.  Aku amat bangga kerana akan bertuankan seorang wanita yang bijak lagi cantik sepertinya.
Wanita itu menggunakan aku dengan cermat sekali.  Dia akan memandikan aku sekurang-kurangnya dua kali seminggu.  Dia juga akan sentiasa memastikan anggota-anggota badanku sentiasa berada dalam keadaan sempurna dan dapat berfungsi dengan baik.  Jika keadaan sebaliknya berlaku, dia cepat-cepat membawakanku ke bengkel untuk dirawat.
Masa berlalu begitu pantas.  Aku telah berkhidmat kepada tuanku hampir 10 tahun.  Usiaku semakin tua dan badanku juga terasa lemah.
Pada suatu pagi, tuanku dan suaminya membawaku ke sebuah kedai kereta.  Rupa-rupanya tuan aku ingin membeli sebuah kereta baharu.  Dia ingin jual balik aku dengan kereta baharu.  Walaupun berasa sedih, namun aku gembira kerana dapat berkhidmat dengan cemerlang kepada tuanku.  Sepanjang hayat dia menggunakan aku, tidak pernahpun kami terlibat dalam kemalangan.  Lagipun, kereta yang bakal menggantikan aku itu merupakan kereta keluaran Malaysia juga.
Kini, tinggallah aku bersama rakan-rakan yang lain di sebua kedai kereta terpakai.  Aku sentiasa berdoa agar mendapat tuan yang baik dan cermat seperti tuan aku dahulu.



Contoh Karangan Bahasa Malaysia SK dan SJKC Tahun 4,5,6 UPSR : Aku Sebuah Basikal

Contoh Karangan Bahasa Malaysia SK dan SJKC Tahun 4,5,6 UPSR

Karangan jenis Autobiografi

4 Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Aku Sebuah Basikal”.


Aku Sebuah Basikal



  Hai, Unibike adalah nama aku.  Aku dilahirkan di sebuah kilang yang besar dan termashyur di
Singapura.  Aku diperbuat daripada aluminium dan disaluti plastik agar tidak berkarat.  Badanku dicat dengan warna merah, iaitu warna kesukaan ramai.  Selepas siap dipasang, aku dan kawan-kawanku dibawa ke sebuah kedai basikal.
Sesampai di kedai itu, kami pun dibawa turun.  Aku dipamerkan di depan kedai.  Menurut tuan punya kedai, aku ialah model yang terbaharu dan dapat menarik perhatian orang rami.  Aku merupakan jenis basikal “mendaki gunung” yang digemari oleh pemuda-pemudi.  Aku mempunyai 18 gear dengan sistem brek cakera.  Semua orang yang melihatku pasti akan memuji akan kekuatan dan kegagahanku.  Selain itu, warna badanku juga menarik.  Aku berasa begitu bangga.  Pada suatu hari, ada seorang lelaki yang berpakaian kemas mengunjung kedai itu.  Setelah melihat-lihat dan membelek-belek aku dan rakan-rakan yang lain, akhirnya dia memilihku.  Selepas membayar hargaku, beliau pun membawa aku balik ke rumahnya.  Aku dihadiahkan kepada anaknya, Peter.
Setiap hari, aku ditunggangi oleh Peter untuk bersiar-siar dengan kawan-kawannya .  Kadang-kadang , Peter menunggangku ke sekolah pada waktu petang untuk menghadiri aktiviti luar darjah. Aku bersyukur kerana dikurniakan seorang tuan yang baik.  Aku dijaga olehnya dengan sempurna. Walaupun Peter mempunyai orang gaji, dia tidak menyuruh orang gajinya mencuciku, sebaliknya, dia membasuhku dan mengelapku sendiri.  Aku kagum dengan sikap rajin dan tanggungjawabnya itu. Untuk memastikan aku tidak terkena sinaran cahaya matahari atau hujan, Peter telah meletakkan saya di dalam rumah dan memberikan aku satu tempat khas untuk berehat.  Aku amat gembira dan sentisa bersyukur kerana mendapat tuan yang begitu baik.
Walaupun sudah dua tahun aku berkhidmat untuk Peter, namun aku masih disayanginya, malahan dia tidak pernah terfikir untuk mencari penggantiku.  Aku berjanji dengan diriku sendiri bahawa aku akan berkhidmat dengan baik kepada Peter sehingga ke akhir hayatku.