Aku sebuah kereta


Aku sebuah kereta

Aku merupakan sebuah kereta yang diberi nama Perodua Axia.  Aku telah dihasilkan di salah sebuah syarikat kereta, iaitu Syarikat EON.  Badanku berwarna biru.
Aku akan dihantar ke salah sebuah kedai bersama-sama dengan sepuluh rakanku yang lain untuk dijual.  Antara kami, akulah yang tercantik dan termahal kerana badanku dihiasi dengan pelbagai aksesari yang canggih dan terkini.
Setelah sebulan berada di kedai itu, maka datanglah seorang lelaki bersama isterinya untuk membeli kereta.  Setelah mereka melihat-lihat kereta yang ada di situ, akhirnya mereka telah memilikiku.  Mereka berpuas hati dan ingin membeliku walaupun hargaku mahal.
“Biarlah alah membeli tetapi menang memakai,” kata wanita itu kepada suaminya.
Aku dapat tahu bahawa bakal tuan aku merupakan seorang peguam.  Aku amat bangga kerana akan bertuankan seorang wanita yang bijak lagi cantik sepertinya.
Wanita itu menggunakan aku dengan cermat sekali.  Dia akan memandikan aku sekurang-kurangnya dua kali seminggu.  Dia juga akan sentiasa memastikan anggota-anggota badanku berada dan dapat berfungsi dengan baik.  Jika keadaan sebaliknya berlaku, dia cepat-cepat membawaku ke bengkel untuk dirawat.
Masa berlalu dengan begitu pantas.  Dalam sekelip mata, aku telah berkhidmat kepada tuanku hampir 10 tahun.  Usiaku semakin tua dan badanku juga terasa lemah-lemah.
Pada suatu pagi, tuanku dan suaminya telah membawaku ke sebuah kedai kereta.  Ruap-rupanya tuan aku ingin membeli sebuah kereta baru.  Dia ingin tukar tambah aku dengan kereta baru.  Walaupun berasa sedih, namun aku gembira kerana dapat berkhidmat dengan cemerlang kepada tuanku.  Sepanjang dia menggunakan aku, tidak pernahpun kami terlibat dalam kemalangan.  Lagipun, kereta yang bakal menggantikan aku itu merupakan kereta keluaran Malaysia juga.
Kini, tinggallah aku bersama rakan-rakan yang lain di sebuah kedai kereta terpakai.  Aku sentiasa berdoa agar mendapat tuan yang baik dan cermat seperti tuan aku dahulu.

(285 patah perkataan)




8 comments: